Advertisements

Sedih Bukan Kepalang Saat Aku Bacakan Surah Yassin Untuk Kawan Baikku

Aku mempunyai empat orang rakan baik dan kami seringkali melakukan pelbagai aktiviti bersama. Sara(paeza), Fiza(ila), Alya(ezu) dan Mira(ika). Ketika aku berada di tingkatan satu, aku, Fiza, Alya dan Mira belajar di dalam kelas yang sama manakala Sara di kelas yang lain.

Kami tinggal di kampung yang sama, sekolah kami terletak di kampung sebelah. Kami ke sekolah menaiki van yang sama. Aku kenal Fiza sejak dari sekolah rendah lagi kerana ibu aku dan bapa Fiza bekerja di tempat yang sama.

Alya merupakan sepupu yang sebaya dengan aku dan ini salah satu sebab kenapa aku dan dia rapat sejak dari kecil lagi. Manakala aku dan Mira mula rapat kerana dia duduk di sebelah Alya manakala aku duduk di sebelah Fiza.

Kami memilih persatuan yang sama yang diundi secara majoriti antara kami berlima. Ibu bapa kami juga kenal antara satu sama lain. Kami seringkali meluahkan masalah yang kami hadapi ketika duduk berkumpul beramai-ramai di waktu petang.

Fiza seringkali meluahkan perasaan mengenai ketidakpuasan hatinya dengan abang iparnya yang tinggal bersama mereka. Fiza mempunyai 13 orang adik beradik, dia merupakan anak yang kesepuluh.

Tinggal serumah dengan bilangan penghuni yang ramai tentu sahaja akan menimbulkan bermacam masalah. Malah sekecil-kecil masalah pun boleh menjadi besar andai ianya ada campur tangan daripada pihak yang tidak sepatutnya.

Itulah yang seringkali diluahkan oleh Fiza. Seringkali Fiza datang ke kelas dalam keadaan muram, malah dari air mukanya aku dapat mengagak sesuatu yang tidak baik telah berlaku. Sebagai seorang kawan, aku hanya boleh menasihatinya agar bersabar dan menghiburkannya dengan perkara-perkara yang dapat membuatkan dia lupa seketika mengenai masalah yang dihadapinya.

Aku dan Sara mulai rapat kerana kami menaiki van yang sama untuk ke sekolah. Kami berjalan ke kelas bersama-sama. Ketika menunggu pelajar-pelajar lain datang ke sekolah, aku akan duduk di kelas Sara memandangkan aku seorang yang penakut. Pelajar-pelajar senior sering menceritakan kisah-kisah seram yang berlaku di blok kelas aku.

Blok kelas aku terletak jauh daripada blok-blok kelas yang lain. Sara merupakan seorang pelajar yang mempunyai rupa diantara kami berlima, tidak hairanlah dia mempunyai buah hati di sekolah walaupun baru beberapa bulan sahaja kami memasuki sekolah menengah.

Masalah yang sering diluahkan kepada aku ialah mengenai kedua ibu bapanya yang seringkali memarahinya walhal dia tidak melakukan apa-apa kesalahan.

Remaja yang semakin meningkat dewasa seperti kami seringkali menginginkan perhatian daripada ibu bapa masing-masing begitu juga Sara. Bagi Sara kedua ibu bapanya sering melebih-lebihkan kakaknya yang kini sedang menuntut di institusi pengajian tinggi swasta. Kakaknya sering mendapat pujian daripada kedua ibu bapanya namun dia tidak mendapat layanan seperti itu.

Fiza memiliki susuk tubuh yang agak kurus dan kami tidak menyangka sebenarnya dia mempunyai penyakit yang agak serius. Dia sering tidak hadir ke sekolah, namun kami menganggap ianya hanyalah perkara biasa.

Pada satu hari, Fiza menceritakan kepada kami tentang penyakitnya. Injap jantungnya mempunyai masalah dan dia perlu menjalani pembedahan untuk menggantikannya.

Menurutnya, kebarangkalian pembedahan itu untuk berjaya amat tinggi. Kami tidak menyangka penyakit Fiza begitu serius sehingga perlu menjalani pembedahan. Kami meminta izin daripada Fiza untuk memberitahu kepada guru kelas mengenainya.

Saat Fiza menjalani pembedahan, kami dan rakan-rakan sekelas membuat majlis membaca surah Yassin agar pembedahan Fiza dapat berjalan dengan lancar. Kakak Fiza memberitahu pembedahan yang Fiza lalui akan mengambil masa yang lama. Kami tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian ketika di dalam kelas kerana risau dengan keadaan Fiza.

Kami hanya mengetahui keadaan Fiza melalui kakaknya sahaja. Selepas beberapa minggu Fiza di hospital, dia dibenarkan pulang kerana Fiza memberikan tindak balas yang baik selepas pembedahan tersebut.

Fiza dapat ke kelas semula seperti biasa namun bantal kecil sering menjadi penemannya kerana ketika dia batuk, dia akan menekup bantal kecil tersebut di dadanya. Kami pernah meminta untuk melihat bahagian badan yang dibedah dan Fiza tidak keberatan untuk membenarkannya.

Hidup Fiza kini bergantung kepada beberapa jenis ubat untuk merawat luka pembedahan tersebut dan dia masih lagi dibawah pemantauan doktor. Atas dasar kawan, kami sanggup mengurangkan aktiviti lasak kami untuk menjaga hati Fiza supaya tidak terguris sekiranya tidak dapat bersama-sama kami melakukan aktiviti kegemarannya.

Adakalanya apabila keadaan Fiza kurang sihat, kami akan melawat dia di rumah selepas tamat waktu persekolahan. Sehinggalah, pada satu hari kami mendapat berita daripada kakaknya yang mengatakan Fiza di masukkan ke hospital.

Kami risau sangat akan keadaan Fiza. Setelah beberapa hari Fiza ditahan di ICU, kami dan rakan sekelas yang lain merancang untuk melawat Fiza pada hujung minggu.

Namun Allah sebaik-baik perancang, Fiza telah meninggalkan kami pada hari Jumaat, sehari sebelum hari yang sepatutnya kami datang untuk melawatnya. Aku mengetahui perkhabaran tersebut semasa di dalam van ketika hendak pulang dari sekolah. Mama menelefon aku menggunakan telefon pemandu van sekolah.

Pada mulanya aku menganggap ianya hanya gurauan, namun pemandu van tersebut mengesahkan perkhabaran tersebut kerana pihak masjid ada membuat pengumuman mengenainya. Sememangnya menjadi kelaziman sekiranya ada kematian, berita mengenainya akan diumumkan di masjid.

Setibanya aku di rumah, aku terus menelefon Sara. Aku hanya mendengar esakan daripada dia sahaja. Kami sama-sama menanti jenazah untuk tiba di masjid. Aku mengambil peluang mengucup Fiza untuk kali yang terakhir. Jenazahnya kelihatan bengkak dan telah dibaluti dengan plastik. Seterusnya kami mengiringi jenazah sehingga selesai imam membacakan talkin.

Kaki aku seakan-akan berat untuk melangkah meninggalkan tanah perkuburan. Aku kehilangan seorang kawan yang sangat-sangat aku sayangi. Namun aku redha dengan qada’ dan qadar.

Keesokkannya, pihak sekolah telah mengadakan bacaan Yassin untuk arwah. Aku tidak dapat menbacanya dengan lancar, hati aku sebak memikirkan yang aku sedang membacakan Yassin untuk kawan baikku sendiri. Setiap kali selepas menunaikan solat,aku tidak lupa untuk menyedekahkan Al-Fatihah untuk arwah.

Kini telah sebelas tahun arwah pergi meninggalkan kami, banyak perubahan yang telah berlaku. Mira sudah tidak rapat lagi dengan kami. Ketika di tingkatan tiga, Alya menyambung pelajarannya di sekolah teknik dan ini menjarakkan sedikit persahabatan kami namun disebabkan aku dan dia adalah sepupu, kami seringkali berjumpa terutamanya ketika musim perayaan.

Aku dan Sara sahaja yang sehingga kini masih rapat walaupun masing-masing telah mempunyai kehidupan sendiri. Sara baru sahaja melangsungkan perkahwinannya dengan kekasih hati yang ditemuinya ketika melanjutkan pelajaran di politeknik. Manakala aku kini sedang berhempas pulas menyiapkan projek akhir untuk semester terakhirku di sebuah institusi pengajian tinggi awam.

Alya sedang berusaha keras mengumpul duit untuk melangsungkan hari bahagianya. Mama seringkali menjadi pemberi maklumat mengenai Mira yang kini telah berkeluarga dan mempunyai seorang cahaya mata.

Walaupun hubungan kami tidak seakrab dulu, namun aku tidak lupa untuk mendoakan supaya mereka sihat sentiasa, dimurahkan rezeki dan berjaya di dunia dan akhirat.

Setiap manusia mempunyai perjalanan hidup yang telah ditentukan oleh-Nya, oleh itu aku berharap agar kenangan pahit dan manis yang kami lalui itu akan tetap segar di ingatan supaya kami lebih menghargai setiap orang yang datang dan pergi.

Adakalanya aura negatif yang mendekati kita akan menjadikan kita sebagai manusia yang kuat dan tidak mudah putus asa dalam setiap perhubungan.

Artikel Berkaitan: Aku Tertipu Dengan Ustaz Playboy

 

Advertisements