12 Sebab Kenapa Puting Payudara Anda Sakit

Sakit pada puting payudara memang kerap terjadi di kalangan wanita. Ia sering digambarkan sebagai rasa tidak selesa atau pedih apabila disentuh. Kesakitan akan menjadi lebih ketara apabila puting bergesel pada sebarang permukaan seperti kain atau semasa menyusu badan.

Apa yang menyebabkan puting jadi sakit?

Puting Payudara diselaputi kulit yang sangat sensitif terhadap sentuhan kerana ia kaya dengan saraf. Sebarang perubahan pada kulit atau hormon badan boleh menyebabkan kesakitan pada puting anda.

Terdapat beberapa kemungkinan yang boleh dikaitkan dengan sakit pada puting payudara. Ia termasuk:

1. Perubahan Hormon

Terjadi perubahan hormon yang ketara ketika gadis remaja mencapai akil baligh menyebabkan payudara membengkak dan puting boleh menjadi tidak selesa dan menyakitkan. Sakit juga boleh berlaku pada masa ovulasi dimana berlaku perubahan hormon ketara semasa ovulasi.

2. Hamil atau Menyusukan Badan

Hormon estrogen dan progesteron dirembes dengan banyak semasa hamil menyebabkan payudara menjadi bengkak dan puting menjadi sensitif.

Penyusuan badan juga boleh menyebabkan sakit pada puting dan selalunya berkait dengan teknik menyusu yang salah. Pastikan anak anda membuka mulut dengan luas sebelum menyusukan. Selepas bayi kenyang, keluarkan puting perlahan-lahan dari mulut bayi.

3. Kulit Kering

Kehilangan lembapan pada puting boleh menyebabkan puting menjadi kering dan pecah. Elak dari mengunakan sabun semasa mandi atau membersihkan puting. Gunakan kain lembut dan suam mengelap puting. Pakai Krim Pelembab tanpa pewangi untuk menambahkan kelembapan.

4. Geseran

Bagi wanita yang tidak memakai coli, geseran yang berlaku antara baju dan puting boleh juga menyebabkan kesakitan. Ini menjurus kepada kekeringan, kegatalan dan pendarahan. Kerap berlaku kepada mereka yang aktif bersukan. Pakai coli daripada kapas atau gunakan ‘nipple shield’ setiap kali bergerak aktif.

5. Cedera

Sebarang jenis kecederaan pada dada boleh menyebabkan puting anda menjadi sangat sensitif dan menyakitkan. Sebagai contoh, tali pinggang keledar kereta yang menjerut boleh menekan puting anda semasa kemalangan atau semasa brek kecemasan.

6. Alahan atau Alergi

Puting adalah sangat sensitif dan bertindak balas kepada perubahan dalam persekitaran anda. Sekiranya terdapat kemerahan, kegatalan dan kulit mengelupas ia mungkin tanda alahan. Elak dari guna gel mandi atau krim pada puting. Fabrik seperti bulu binatang juga boleh menyebabkan alergi.

7. Jangkitan Kuman

Sakit disebabkan punca yang tidak serius selalunya hilang dalam masa beberapa hari, tetapi sekiranya ia menjadi lebih sakit dan disertai dengan bengkak pada payudara, ia mungkin tanda mastitis atau payudara bernanah. Elok jumpa doktor anda dengan segera.

8. Jangkitan Yis

Jangkitan yis juga boleh menyebabkan sakit puting. Ia boleh terjadi selepas beberapa minggu menyusu bermula dan kerap disertai dengan rasa panas, pedih pada salah satu atau kedua-dua puting payudara. Bayi anda juga mungkin mempunyai tompok putih di sekeliling mulut yang menunjukkan tanda jangkitan yis. Jangkitan dengan senang dapat dirawat dengan ubat anti-fungus.

9. Ekzema atau Contact Dermatitis

Ekzema boleh terjadi pada puting yang terbentuk dari iritasi pada kulit atau reaksi alergi kepada bahan kimia. Pastikan kulit sentiasa lembab dan elak dari menggunakan sebarang krim wangi atau sabun pada puting. Ubat steroid mungkin boleh membantu mengurangkan ekzema dari menjadi semakin teruk.

10. Raynaud Sindrom

Sindrom ini terjadi disebabkan oleh aliran darah yang terganggu apabila puting terdedah pada persekitaran sejuk. Guna pad suam untuk mengurangkan sakit.

11. Kanser Payudara

Kanser payudara selalunya dikaitkan dengan ketulan pada payudara tetapi jarang-jarang ia boleh menyebabkan puting menjadi sakit. Sekiranya sebab kesakitan gagal dikesan, elok jumpa doktor untuk ultrasound payudara.

12. Penyakit Paget

Penyakit Paget adalah satu keadaan jarang berlaku yang boleh menyebabkan kesakitan ketara pada puting. Kurang dari 5% dari penyakit ini berkembang menjadi kanser payudara.

Penyakit Paget biasanya dirawat dengan kombinasi pembedahan iaitu melalui radioterapi, lumpektomi, atau mastektomi radikal, bergantung kepada sejauh mana keterukan penyakit ini.

Apa yang saya perlu buat?

Sakit pada puting kerap terjadi tetapi jika ia menjadi semakin sakit dan tidak hilang hilang sakitnya, eloklah berjumpa doktor untuk memastikan ia bukan disebabkan penyakit yang lebih serius seperti kanser,

Dr R Juhaidah adalah Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi dari Hospital Columbia Asia Puchong dan mempunyai 17 tahun pengalaman sebagai Pakar.

http://www.alamhamilblog.com

Migrain mungkin boleh bawak mati

Baru ni aku balik kampung dan dikejutkan dengan berita isteri kepada kawan baik aku kurang sihat dan dimasukkan ke hospital. Mulanya aku pun tak tau isterinya sakit apa, tapi menurut cerita mak aku sakitnya agak serius. Ya Allah! cemas jugak aku. Sampai je dari KL petang tu, lepas Isyak aku terus pergi hospital. Kawan aku kata dia ada dekat Emergency. Aku pun pergilah menyelinap ke emergency room. Hospital swasta ni depa macam tak berapa kisah siapa yang masuk. So berjayalah aku cilok masuk.

Bila aku masuk, aku tengok kawan aku ni tengah berborak dengan doktor. Aku tengok isteri dia dah berbungkus berselimut tak nampak apa dah. Aik kenapa pulak jadi macam tu. Aku pun tunggulah sampai kawan aku selesai berurusan dengan doktor. Settle dengan doktor pun aku sapa kawan aku, dia pun terkejut aku ada kat belakang dia. Ha ha ha…kira hebat jugaklah aku seludup masuk emergency, semua orang tak perasan.

Keluar dari emergency sambil duduk-duduk dekat kerusi menunggu, dia pun cerita isteri dia ni memang selalu migrain. Selalu sangat dan heavy jugak kalau kena. Sampai tahap berubah cuaca pun contohnya dari panas ke hujan lebat, isteri dia akan kena migrain. Wow memang betul2 heavy. Aku teringat dulu masa kita orang laki bini sama-sama pergi umrah pun isteri dia pernah kena migrain jugak masa dekat Mekah. Aku pun tanya jugak kenapa isteri dia berbungkus berselimut satu badan kat dalam emergency tadi. Dia cakap isteri dia tak tahan sakit kepala sangat-sangat walaupun doktor dah bagi pain killer. Subhanallah… tak dapat aku bayangkan betapa sakitnya. Bayangkan je lah dah makan pain killer tetapi masih sakit.

TETAPI part yang buat aku terkejut doktor beritahu dia sebenarnya pening tu bukan migrain. Sakit kepala tu adalah disebabkan oleh BRAIN ANEURYSM. Brain aneurysm ni dia macam ada benjol dekat arteri kita dalam kepala berdekatan dengan otak. Sebab benjol ni lah yang selalu menyebabkan pening yang kita ingatkan migrain. Benda ni akan lebih berisiko kalau benjolan tu pecah. Boleh meragut nyawa. Cuba tengok video bawah ni.

Sedih bila keadaan ni menimpa orang yang rapat dengan kita. Bila melibatkan kepala ni memang mencemaskan kita. Masa aku pergi melawat tu, isteri dia dah masuk hospital seminggu. Lambat nak detect kat mana lokasi benjolan tu.

Doktor beritahu ada dua pilihan untuk rawatan. Pertamanya kena surgery dari luar. Maksudnya kena bukak la tempurung kepala dan letak klip dekat benjolan tu. Keduanya masukkan wayar melalu arteri di kaki sampai ke bahagian kepala dan letak coil(kepingan besi mikro)untuk menutupi bahagian yang benjol.

Kawan aku pilih yang jenis kedua. Maklumlah kepala bila dah bukak macam-macam benda yang kita bayangkan. Rawatan berjalan dengan lancar dan Alhamdulillah minggu lepas isteri dia dah discharge dari hospital. Tapi masih kurang bertenaga dan sekali sekala pening tu masih ada. Mungkin proses untuk sembuh makan masa sedikit. Insha Allah sama-sama kita doakan ya.

Nasiblah kawan aku ni org yang ada duit dan insuran dia pun bukan calang-calang punya insuran. So bab bayaran kos rawatan tak menjadi masalah.

Cuma aku nak stress kan dekat sini. Kita ambil pengajaran. Kalau ada migrain dan terlalu teruk peningnya better kita pergi hospital dan check. Sebabnya benda yang kita selama ingat migrain sebenarnya bukan migrain dan boleh mengancam nyawa.

Sakit belakang disebabkan mesin judi

Kadangkala kita ambil mudah tentang sakit belakang. Selalu kita sangka sakit belakang ni ala sakit biasalah. Kalau dah berumur confirmlah sakit belakang. Tetapi sebenarnya sakit belakang ni boleh kita elakkan. Kerap kali ianya adalah disebabkan oleh posisi badan kita salah ketika membuat sesuatu. Misalnya ketika mengangkat barang, ketika mengutip sampah, ketika mengendong bayi dan sebagainya. Jika kita ketahui cara yang betul Insha Allah sakit belakang ni boleh dielakkan.

Aku ada pengalaman yang agak menyakitkan jugak pasal sakit belakang ni. Pada satu masa dahulu, keluarga aku akan berpindah jadi banyaklah barang-barang yang kami kemaskan dan masukkan dalam kotak. Banyak juga barang-barang yang diangkat ke sana ke mari termasuklah ada satu barang yang sangat berat. Cuba teka barang apa tu ?..Barangnya ialah “Slot Machine @ Mesin Slot”. Ala mesin yang banyak dekat pusat judi. Mesin ni pakai token. Aku dapat pun masa dekat luar negara. Saja gatal beli. Mana taknya harga dia cuma RM 40 SAHAJA. Waaa !!! masa tu terus sambar je tak pikir apa. Bila bawak balik rumah tak main pun. Jadi perhiasan je lebih. Ada la sekali dua main. Selebihnya tinggal bersawang je kat dalam rumah.

Nak dijadikan cerita barang ni la paling berat sekali masa nak pindah tu. Pulak tu konon rasa kuat, masa nak masukkan barang ni ke dalam lori, aku boleh pulak angkat benda ni sorang-sorang. Mulanya ok je sebab sentiasa rasa muda itu yang konfiden je. Malam tu lepas maghrib, aku dengan family pergi rumah member sebab ada acara makan2 sempena nak pindah la katakan.

Seksa dunia yang teramat sangat mula datang bila aku bangun selepas makan. Perghhh !! tak boleh blah. Punya la sakit belakang masa tu, terus terduduk balik. Dia tangkap betul-betul kat belah belakang pinggang. MAKA bermulalah episod sengsara. Malam tu dan hampir seminggu selepas tu aku terlantar sakit. Duduk sakit, baring sakit, berdiri sakit, berjalan sakit. serba-serbi sakit. Pergi tandas kencing pun berpapah. Bayangkanlah. Nak buang pun punyalah seksa benda tu nak keluar. Aduhai…Inilah penangan SLOT MACHINE ! kui kui kui

Selepas dari episod tu. Sembuh memang sembuhlah TAPI tak selamanya. Bermula dari saat itu maka sakit belakang ni dah jadi rutin dekat aku. Asal silap kedudukan badan sikit, sakit, asal terlalu aktif je sakit, asal lama sikit drive sakit. Nasib badan… Kadang sehari dua je sakitnya lepas tu hilang. Kadang-kadang seminggu dan yang tak tahan ada masanya sampai sebulan tak hilang sakit. Aduh.

Masa yang sebulan sakit ni barulah sibuk aku nak pergi ke hospital check. Ko merana dah berapa lama baru nak pergi check ? Standard la kan tapi tak betul ni. Dah banyak kali kena baru nak pergi hospital.

Masa dekat hospital tu maka berjumpalah dengan Doktor Pakar. Dia kata sebenarnya di Malaysia memang ramai yang sakit belakang macam ni tapi tak pergi jumpa doktor. Doktor kata aku boleh terus buat fisioterapi. 10 kali buat fisio dah ok kata dia. Tapi aku rasa cam nak tau jugak la apa sebab yang sampai lama sangat sakit belakang. Doktor ok je kalau aku nak buat MRI scan untuk tengok keadaan sebenar belakang aku.

Lepas scan doktor terangkan balik. Macam dia kata awal-awal tulang rawan (tulang yang lembut) antara tulang belakang aku dah tertekan dan terkeluar sikit jadi dia mencucuk ke saraf dekat belakangnya. Itu yang sakit teramat sangat. Penyelesaiannya aku buat fisio sekali je dah baik dah. Masuk kali kedua aku terus ponteng dah lepas tu. Teruk betul.

Tapi yang tak bagusnya bila kita ada sejarah sakit belakang ni kadang2 dia datang balik. Silap sikit je terasa sakit balik. Posisi badan memang nak kena jaga. Kalau drive kereta make sure postur badan kita jaga. Kalau ambik barang memang nak kena mencangkung dan bangun perlahan2. Kalau nak ambik barang sambil berdiri pun boleh tapi dengan syarat satu kaki kita angkat (tak jejak tanah) supaya beban tu lutut yang tanggung bukan tulang belakang.

Kesimpulannya jangan pandang remeh sakit belakang ni. Hati-hati dengan postur badan kita dan jangan mengada2 nak angkat barang yang berat2. Kita rasa kita mampu tapi banyak kesan sampingannya. Berat badan pun nak kena jaga juga. Wallahualam

Kandungan dan Risiko Rokok Vape

Definisi Rokok Elektronik dan Vape?

Kementerian Kesihatan mendefinisikan peranti elektronik yang mengandungi nikotin adalah dirujuk sebagai ‘rokok elektronik’ (eCig), sementara yang tidak mengandungi nikotin, adalah dirujuk sebagai Vape.

Komponen utama Rokok Elektronik dan Vape adalah

Bateri
Atomiser
Katrij

Kandungan utama Rokok Elektronik*

Nikotin
Propylene Glycol
Vegetable Glycerin
Bahan Perisa dan pewarna

Kandungan utama Vape*

Propylene Glycol
Vegetable Glycerin
Bahan Perisa dan pewarna
*Walaupun vape didakwa tidak mengandungi nikotin, namun cecair “refill” yang dijual berkemungkinan besar masih mengandungi nikotin. Begitu juga cecair refill rokok elektronik, telah dilaporkan ditambah dadah atau bahan-bahan terlarang berbahaya yang lain.*

Kandungan dan Kesan Nikotin Terhadap Kesihatan

Nikotin
Nikotin merupakan hasil tembakau yang menyebabkan ketagihan, iaitu sejenis gangguan otak kronik. Penggunaan berpanjangan menghasilkan kebergantungan fisiologi serta dorongan yang kuat untuk menggunakan tembakau. Ketagihan ini berkait rapat dengan kadar kepantasan nikotin diserap dan sampai ke otak (Prochaska, 2015). Pendedahan otak kepada nikotin semasa remaja amat berbahaya kerana zaman remaja adalah peringkat kritikal perkembangan otak lalu menjadi pembuka laluan kepada penyalahgunaan dadah (Yuan et al, 2015). Selain daripada itu nikotin boleh menggalakkan pembekuan darah (Schaller et al, 2013) dan boleh menyerap masuk ke plasenta ibu mengandung di mana ia akan mengganggu proses perkembangan bayi di dalam kandungan (Maritz, 2009). Melalui beberapa analisis sampel cecair rokok elektronik secara rawak oleh Makmal Toksikologi, Pusat Racun Negara, terdapat kandungan cecair rokok elektronik yang mengandungi nikotin sehingga 4mg dalam 1ml cecair. Ini bermakna setiap botol 3 yang mengandungi 25ml cecair rokok elektronik akan mengandungi sehingga 100 mg nikotin. Nikotin serendah 2mg sudah boleh menyebabkan gangguan pada perut dan usus. Dos yang lebih tinggi boleh menyebabkan kesan yang lebih teruk, antaranya, sawan dan kegagalan pernafasan. Nikotin pada paras sekurang-kurangnya 40 mg boleh menyebabkan kematian

Propylene Glycol
Propilena glikol (PG) boleh menyebabkan kesan jangka pendek dan kesan jangka panjang. Menurut kajian yang dijalankan, kesan jangka pendek meliputi iritasi kepada mata, tekak dan saluran pernafasan (Wieslander et al 2001, Vardavas et al 2012) manakala kesan jangka panjang boleh menyebabkan penyakit asma (Choi et al 2010). Kajian ini menyokong bahawa menyedut PG boleh menyebabkan iritasi kepada sistem pernafasan seseorang. PG apabila dipanaskan akan menghasilkan bahan yang membebaskan formaldehid (formaldehyde). Formaldehid ialah sejenis bahan yang boleh menyebabkan kanser. Kajian menunjukkan jumlah penghasilan formaldehid bergantung kepada tahap kepanasan yang digunakan ketika mengewap PG. (Jensen et al , 2015)

Glycerin
Gliserin merupakan satu bahan yang selamat di mana ia digunakan di dalam sabun, krim muka dan banyak lagi. Namun begitu menyedut gliserin ke dalam saluran pernafasan boleh memberikan kesan jangka panjang kepada kesihatan. Kebanyakan gliserin yang digunakan adalah produk dari sayur-sayuran (Vegetable Glycerin). Menurut MSDS, Vegetable Glycerin (VG) boleh menyebabkan kesan yang sedikit jika terkena lapisan kulit dan mata. Penggunaan VG yang lama (berulang dan berpanjangan) boleh mengakibatkan kerosakan kepada organ dalaman.

Glycerin
Berjenis-jenis bahan perisa digunakan di pasaran. Kebanyakan pengguna beranggapan perisa yang digunakan adalah tidak memudaratkan. Kajian in-vitro 4 yang dijalankan oleh Bahl et al, 2012 mendapati cecair rokok elektronik ini mampu membunuh sel iaitu sel paru-paru , otak dan lapisan kulit. Kajian ini mengira paras yang mampu membunuh sel-sel ini yang di kenali sebagai sitotoksisiti (cytotoxicity). Cecair rokok elektronik yang mengandungi pelbagai bahan perisa telah menunjukkan paras sitotoksisiti yang tinggi.

Kehadiran Logam Berat
Kajian juga mendapati kehadiran logam berat ketika menggunakan rokok elektronik. Ini merupakan tindakbalas cecair rokok elektronik yang terendam di dalam gelungan dawai di dalam bahagian atomiser (W.E. Stephens, 2015).

Partikel ultra halus
Distribusi saiz partikel dan bilangan partikel yang dikeluarkan oleh rokok elektronik adalah serupa dengan rokok konvensional di mana kebanyakan partikel bersaiz antara 20 – 300 nanometer (Otmar G et al, 2015). Penyebaran partikel bergantung kepada paras nikotin di dalam cecair rokok elektronik. Seperti mana rokok konvensional, partikel daripada rokok elektronik adalah cukup halus untuk menembusi ke dalam paru-paru dan seterusnya memasuki peredaran darah (Zhang et al, 2013).

“Gate way” memulakan tabiat merokok
Kajian telah menunjukkan rokok elektronik dan vape merupakan satu “Gateway” untuk golongan kanak-kanak memulakan tabiat merokok.(Brian A et al 2015).

Rokok elektronik sebagai pengganti rokok bertujuan berhenti merokok
Kajian bandingan di antara penggunaan rokok elektronik, NRT dan placebo menunjukkan tiada perbezaan signifikan di dalam kejayaan untuk berhenti merokok (Bullen C, et al 2013). Tambahan pula, mereka yang menggunakan rokok elektronik menunjukkan kesukaran mereka untuk menghentikan tabiat merokok akibat kebergantungan kepada nikotin (W.K. Delmy et al, 2015). Laporan oleh Public Health England (PHE) yang menyatakan rokok elektronik adalah 95% lebih selamat berbanding rokok tembakau telah dikritik hebat kerana ianya 5 berdasarkan beberapa kajian dan mempunyai pelbagai kelemahan serta penglibatan penajaan oleh syarikat tembakau (Mc Kee, 2015). Tambahan pula, majoriti pengguna rokok elektronik yang masih merokok (dual users) dikhuatiri tidak akan mengurangkan risiko kematian. Risiko jangka panjang rokok elektronik masih tidak diketahui dan langkah pengawalan serta pemantauan adalah perlu apabila ianya tidak diharamkan (banned).

Disediakan oleh:
Jawatankuasa Kerja Kajian Saintifik WHO FCTC
Unit Kawalan Tembakau dan Urusetia FCTC
Kementerian Kesihatan Malaysia
10 November 2015

http://www.infosihat.gov.my/index.php/isu-semasa/53-rokok-elektronik-vape

Risiko Berhenti Bernafas Jika Gemuk

Obesiti……takutnya….itu jawapan semua orang bila ditanya….. sesuatu yg semakin meningkat dalam populasi masyarakat di malaysia……. antara negara yang mempunyai masalah obesiti di kalangan Negara Asean…

Sedikit info utk dikongsi bersama….

Apa maksudnya menjadi obesiti?
Doktor menggunakan formula khas yang disebut “indeks jisim badan,” atau BMI, untuk memutuskan siapa yang kurang berat badan, pada berat badan yang sihat, berat badan berlebihan, atau obesiti.

BMI anda akan memberitahu anda sama ada berat badan anda sesuai untuk ketinggian
– Jika BMI anda adalah antara 25 dan 29.9, anda berlebihan berat badan.
– Jika BMI anda adalah 30 atau lebih, anda adalah obes.

Obesiti adalah masalah, kerana ia meningkatkan risiko masalah kesihatan yang berbeza. Ia juga boleh membuat sukar bagi anda untuk bergerak, bernafas, dan melakukan perkara lain bahawa orang yang berada dalam berat badan yang sihat dapat melakukannya dengan mudah. Tambahan pula, obesiti boleh menjadi emosi yang sukar, kerana ia boleh membuat anda berasa malu.

Apakah risiko kesihatan menjadi obesiti?
Menjadi gemuk meningkatkan risiko seseorang mengalami banyak masalah kesihatan.

Berikut adalah beberapa contoh:

– Diabetes
-Tekanan darah tinggi
– Kolesterol tinggi
– Penyakit jantung (termasuk serangan jantung)
– Strok
– Sleep apnea (gangguan di mana anda berhenti bernafas
untuk jangka masa pendek semasa tidur)
– Asma
– Kanser

Adakah obesity memendekkan kehidupan seseorang?
Ya. Kajian menunjukkan bahawa orang yang obesity mati lebih muda daripada orang yang berat badan yang sihat. Mereka juga menunjukkan bahawa risiko kematian semakin tinggi seseorang itu. Tahap peningkatan risiko bergantung kepada berapa lama orang itu telah gemuk, dan mengenai masalah kesihatan lain yang dia ada.

Perlukah saya berjumpa doktor?
Ya. Jika anda berlebihan berat badan atau obesiti. Dia mungkin mempunyai saranan mengenai cara menurunkan berat badan.

Adakah terdapat rawatan perubatan yang boleh membantu saya mengurangkan berat badan?
Ya. Terdapat ubat dan pembedahan untuk membantu mengurangkan berat badan. Tetapi rawatan itu hanya untuk orang yang mengalami obesiti yang teruk yang tidak dapat menurunkan berat badan melalui diet dan senaman. Juga, rawatan penurunan berat badan tidak mengambil tempat diet dan senaman. Orang yang mempunyai rawatan tersebut juga mesti mengubah cara makan dan bagaimana mereka aktif.

Apa yang boleh saya lakukan untuk mengelakkan masalah yang disebabkan oleh kegemukan?
Jawapan yang jelas adalah bahawa anda boleh menurunkan berat badan dengan cara:

1) Menjadi lebih aktif – Banyak jenis aktiviti fizikal dapat membantu, termasuk berjalan kaki. Anda boleh bermula dengan beberapa minit sehari dan menambah lagi apabila anda semakin kuat.
2) Pemakanan anda – Tiada diet tunggal ternyata lebih baik daripada yang lain. Adalah sihat untuk mempunyai masa makan biasa dan bahagian-bahagian yang lebih kecil, dan bukan untuk melangkau makanan. Elakkan gula-gula dan makanan ringan, dan sebaliknya makan lebih banyak sayur-sayuran dan buah-buahan.
3) Berhenti merokok (jika anda merokok)

Apa yang meningkatkan risiko seseorang menjadi obesiti?
Perkara yang meningkatkan risiko seseorang adalah dengan cara hidup yang tidak sihat. Kebanyakan orang menjadi gemuk kerana mereka hanya makan terlalu banyak dan bergerak terlalu sedikit. Itu sangat penting kepada orang-orang yang menonton terlalu banyak TV. Tetapi ada juga beberapa faktor lain yang kelihatannya meningkatkan risiko obesiti yang banyak orang tidak tahu

Berikut adalah beberapa perkara yang mungkin menjelaskan peluang seseorang untuk menjadi gemuk:
Kebiasaan ibu semasa kehamilan – Wanita yang makan banyak kalori, menghidap kencing manis, atau merokok semasa kehamilan mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk mendapatkan bayi yang membesar menjadi gemuk.

Pemakanan formula – Bayi yang diberi formula lebih cenderung daripada bayi yang disusui untuk menjadi dewasa gemuk.

Tabiat dan berat badan semasa kanak-kanak – Orang yang berlebihan berat badan atau obesiti sebagai kanak-kanak atau remaja lebih cenderung menjadi obesiti sebagai orang dewasa.

Tidur terlalu sedikit – Orang yang tidak mendapat cukup tidur lebih mungkin menjadi gemuk daripada orang yang cukup tidur.

Mengambil ubat tertentu – Penggunaan jangka panjang ubat-ubatan tertentu, seperti ubat-ubatan untuk merawat kemurungan, boleh menyebabkan banyak penambahan berat badan.

Terdapat juga keadaan hormon yang boleh meningkatkan risiko menjadi obes, tetapi syarat-syarat tersebut adalah hanya sebahagian kecil daripada kes obesiti.

Bagaimana jika saya mahu mempunyai anak?
Jika anda ingin mempunyai anak, anda harus tahu bahawa menjadi gemuk boleh membuat sukar bagi seorang wanita untuk hamil. Ia juga boleh menjejaskan keupayaan seorang lelaki untuk melakukan hubungan seks, terutama jika lelaki gemuk itu mempunyai tekanan darah tinggi atau diabetes. Lebih-lebih lagi, kanak-kanak yang dilahirkan oleh ibu bapa yang gemuk mempunyai risiko yang tinggi untuk menjadi gemuk sendiri.

Bagaimana jika anak saya gemuk?
Pada kanak-kanak, obesiti mempunyai banyak risiko yang sama seperti yang berlaku pada orang dewasa. Sebagai contoh, ia boleh meningkatkan risiko diabetes, tekanan darah tinggi, asma, dan apnea tidur.

Sumber:

Dr. Azrul Rizal
Medical Specialist
Hospital Tuanku Fauziah Kangar
Perlis
29/11/2017
1.30am

http://jknperlis.moh.gov.my/v3/index.php/info-kesihatan/83-peningkatan-obesiti-di-malaysia

Rokok Penyebab Mati Pucuk

Asap Rokok Mengancam Kanak-Kanak

Perokok pasif adalah orang yang dipaksa menyedut asap rokok basi yang datang dari perokok. Kepekatan bahan kimia beracun yang terkandung dalam asap rokok basi adalah lebih jika dibandingkan dengan kepekatan asap disedut oleh perokok secara aktif. Anak-anak yang didedahkan pada asap rokok basi ini mengalami risiko lebih tinggi untuk mengalami pelbagai masalah kesihatan. Mereka cenderung untuk mengalami masalah seperti batuk, asma serta jangkitan paru-paru dan telinga.

Berikan Anak-Anak Anda Kehidupan Yang Sihat

Mereka mungkin terpaksa mengidap penyakit yang berpanjangan disebabkan terdedah kepada asap rokok basi. Mereka akan membesar dengan mempercayai merokok adalah satu tabiat normal. Daya fikiran mereka mungkin menjadi lembap dan akhirnya akan hidup sengsara. Jangan lakukan ini pada mereka.

Berhenti merokok – Kalau bukan untuk diri anda. Lakukan untuk anak-anak anda.

Asap Rokok Basi Memudaratkan Kanak-Kanak

Anak-anak anda begitu bernilai, mereka membawa kegembiraan dan kebahagiaan kepada anda.
Mengenangkan mereka akan membawa senyuman ke bibir anda.
Jagalah mereka, sayangi mereka.
Berikan anak-anak anda permulaan yang baik dalam kehidupan.
Pastikan kesihatan mereka terjamin dan masa depan mereka cerah.
Berhentilah meracuni mereka dengan asap rokok.
Rokok Mengakibatkan Mati Pucuk

Rokok mengandungi berbagai-bagai bahan bahaya termasuk nikotin.
Kebiasaan merokok menyebabkan penggantungan dan ketagihan nikotin.
Nikotin menyebabkan saluran darah ke zakar menjadi sempit dan tersumbat. Dengan itu nikotin mengakibatkan mati pucuk.
Kualiti sperma anda akan terganggu.
Kemampuan menghasilkan ereksi akan berkurangan dan nafsu seks akan menjadi lemah.
Hubungan Seks Anda Akan Terganggu

Hubungan seks adalah penting dalam kehidupan kita.
Ia membantu anda menikmati perkahwinan yang indah.
Selamatkan diri anda dari mati pucuk
Jangan biarkan diri anda menjadi mangsa nikotin.
Bertindak bijak, jangan merokok.
Fikirkanlah Tentang Pasangan Anda

Perkahwinan adalah titik permulaan bagi hubungan indah yang suci murni. Mati pucuk akan menyumbang kepada ketidakpuasan dan mengakibatkan keretakan rumah tangga.

Jangan pentingkan diri anda, berhenti merokok. Fikirkan tentang orang lain, fikirkan tentang pasangan anda.

Merokok Mengakibatkan Strok

Bahan kimia yang dibebaskan oleh asap rokok akan menjejaskan organ-organ dalam badan. Merokok menambahkan risiko penyakit berbahaya dan menyebabkan 10–12% dari kematian di Malaysia. Strok (Angin Ahmar) amat berkait rapat dengan tabiat merokok.
Kesan nikotin yang disebabkan oleh merokok merosakkan saluran darah.
Dinding salur darah akan menjadi tebal dan sempit, dan dengan itu aliran darah akan menjadi sukar.
Strok disebabkan oleh salur darah tersumbat di dalam otak.
Sebahagian badan anda mungkin akan lumpuh dan anda mungkin maut.
Kurangkan Risiko Anda Mendapat Strok

Merokok menambahkan risiko strok (Angin Ahmar).
Kurangkan risiko anda dengan berhenti merokok.
Jangan biarkan diri anda dan keluarga anda hidup menderita.
Bantulah diri anda.
Amalkan cara hidup sihat.
Jangan merokok.
Berhenti Merokok

Jangan merokok. Masa depan yang hebat menanti anda dan keluarga anda.
Lakukan aktiviti sihat seperti bersukan dan berhobi.
Hidup akan lebih bermakna jika tidak terjerat dengan ketagihan yang membazirkan.
Luahkannya dengan cara positif.
Bergiat aktif. Bebaskan diri anda dari belenggu ketagihan.
Rokok Mengakibatkan Serangan Sakit Jantung

Merokok sememangnya satu tabiat buruk. Malangnya 50% dari golongan lelaki di Malaysia merokok. Merokok merupakan faktor risiko utama bagi penyakit bahaya dan menyebabkan 10–12% kematian di Malaysia. Serangan sakit jantung adalah berkait rapat dengan merokok.

Sayangkan Jantung Anda

Merokok menambahkan risiko serangan sakit jantung.
Kurangkan risiko anda dengan berhenti merokok.
Jangan biarkan asap rokok membunuh anda.
Jauhilah diri dari asap rokok basi.
Belajarlah menyayangi jantung anda.
Jangan merokok.
Fakta Membimbangkan Akibat Merokok

50% dari golongan lelaki di Malaysia adalah perokok.
Di Kuala Lumpur, nisbah antara perokok lelaki dan wanita di bawah umur 30 tahun adalah 5:1.
Kadar merokok dari golongan remaja dan wanita semakin meningkat. 25% dari pelajar sekolah berumur 15 tahun ke atas pernah mencuba merokok dan 70% dari kumpulan ini akan menjadi perokok apabila meninggalkan bangku sekolah.
60-75% dari asap rokok akan disedut oleh orang yang tidak merokok.
Hanya 50% perokok akan dapat menjangkau umur 70 tahun.
Rakyat Malaysia membelanjakan RM1.5 bilion setiap tahun untuk membeli rokok.
Rokok Mengakibatkan Kanser Paru-Paru

Asap rokok mengeluarkan hampir 4,000 bahan kimia beracun dan 53 dari bahan kimia ini boleh mengakibatkan kanser. Merokok menambahkan risiko penyakit merbahaya seperti kanser paru-paru. Ia merupakan kanser paling kerap dialami golongan lelaki dan amat berkait rapat dengan tabiat merokok. Jika anda mengalaminya, peluang untuk sembuh amat kecil sekali.

Selamatkan Diri Anda Dari Kanser Paru-Paru

Setiap sedutan membawa padah.
Kenapa harus meracuni diri?
Jangan biarkan asap rokok merosakkan paru-paru anda.
Selamatkan diri dari kanser paru-paru.
Bertindak bijak, jangan merokok.
Keluarga Anda dan Orang Tersayang

Keluarga dan rakan-rakan anda pasti akan merasa amat sedih sekiranya mereka tahu bahawa anda sedang menderita akibat kanser paru-paru. Emosi insan-insan kesayangan anda akan terganggu apabila hidup anda menjadi hancur lebur di hadapan mata mereka. Kehidupan anda akan hanya berkisar pada keperluan perubatan yang membebankan.

Berhenti merokok – Kalau bukan untuk diri anda, lakukanlah untuk anak-anak anda.

Bahan Toksik Dalam Asap Rokok

Terdapat beribu-ribu jenis bahan kimia beracun di dalam asap rokok. Di bawah hanya beberapa bahan-bahan dan di mana ia kerap dijumpai.

Bahan kimia dalam rokok

Metanol-Bahan Api
Nitrobenzena-Gasolin
Karbon Monoksida-Asap kereta
Butana-Cecair pemetik api
Raksa-Logam dalam jangka suhu
Vinil Klorida-Bahan utama plastik
Toulena-Pelarut industri
Ammonia-Pencuci lantai
Arsenik-Racun tikus
Kadmium-Bahan utama bateri alkali
Stearik-Bahan utama dalam lilin
Sianida-Racun berbisa

Sumber : http://www.infosihat.gov.my/index.php/isu-semasa/43-bahaya-merokok

“Saya Ada Diabetes dan Saya Nak Buat Rawatan Gigi. Masalahnya …”

Pernah tak anda pergi klinik gigi untuk cabut gigi. Kemudian doktor gigi tanya, “Ada kencing manis tak?”

Atau anda ialah seorang pesakit kencing manis. Gigi anda dah bergoyang sangat dah. Anda ke klinik gigi untuk melakukan cabutan gigi. Tapi doktor gigi suruh buat ujian gula dalam darah dulu.

Maka anda pun buat ujian darah dan doktor gigi dapati bacaan gula dalam darah anda ialah 20 mmol!

“Tak boleh cabut ni, encik. Bacaan gula dalam darah tinggi sangat.”

Anda selaku pesakit yang dah lama terganggu dengan gigi yang bergoyang ni rasa marah. Dah lah datang jauh-jauh, tunggu punya lama di ruang menunggu semata-mata nak cabut gigi. Tiba-tiba doktor tak nak cabut gigi.

“Alaa doktor, dah goyang sangat dah ni. Cabut je doktor. Takde apa lah!”

Doktor masih berkeras tak mahu teruskan cabutan.

“Apa kena mengena gula dalam darah saya ni dengan cabut gigi doktor? Doktor cabut je la, saya tanggung lah akibatnya nanti.”

Oh pesakit. Andainya kamu tahu akibatnya.
Jadi, marilah sini. Doktor nak ceritakan kaitan kencing manis, atau dalam bahasa perubatannya, diabetes, dan juga kesihatan mulut.

Diabetes merupakan penyakit metabolik yang diakibatkan oleh sel-sel pankreas yang tidak mampu menghasilkan dan menggunakan insulin secara optimum.

Insulin merupakan hormon yang penting yang menukarkan gula atau glukosa dalam darah kepada tenaga atau disimpan di dalam hati.

Apabila penghasilan insulin terganggu, maka berlaku pengumpulan glukosa dalam darah yang akan menyebabkan bacaan glukosa dalam darah menjadi tinggi. Keadaan ini dipanggil hyperglycemia.

Semakin tinggi bacaan glukosa, semakin bahaya keadaan pesakit yang mana pesakit akan berdepan dengan masalah diabetic ketoacidosis iaitu kandungan asid berlebihan dalam badan. Keadaan ini mampu mengancam nyawa.

Jadi, apakah kaitannya dengan kesihatan mulut dan seterusnya rawatan pergigian?

Pesakit diabetes cenderung untuk mengalami masalah rongga mulut kering akibat berkurangnya penghasilan air liur. Pengurangan rembesan air liur boleh meningkatkan risiko gigi berlubang (karies).

Pesakit diabetes juga mempunyai risiko yang tinggi terhadap jangkitan kulat kandida (oral candidosis) dan kuman. Ini adalah kerana sistem imuniti mereka yang semakin lemah akibat keadaan hyperglycemia yang dialami mereka.

Jangkitan kuman yang berlaku dalam gusi boleh merosakkan tisu gusi dan melambatkan proses penyembuhan. Maka berlakulah radang gusi yang disebut gingivitis. Sekiranya dibiarkan tanpa rawatan, gusi akan semakin membengkak dan sangat mudah berdarah, paras ketinggian tulang sekitar gigi menurun, gigi kelihatan memanjang dan gigi akan bergoyang. Keadaan ini dipanggil periodontitis.

Prosedur cabutan gigi akan mendedahkan pesakit kepada risiko jangkitan kuman akibat terbukanya saluran darah kepada persekitaran yang dipenuhi bakteria jahat dalam mulut tadi terutamanya dalam soket gigi.

Setelah cabutan dilakukan, kuman-kuman ini boleh masuk ke dalam saluran darah (septiceamia). Ini boleh mengakibatkan jangkitan yang lebih serius kepada tulang (osteomyelitis) yang akan mengambil masa yang lama untuk sembuh. Septicemia juga boleh menjadikan kadar gula dalam darah pesakit kencing manis menjadi tidak terkawal yang seterusnya mendedahkan pesakit kepada risiko diabetic ketoacidosis.

Sekarang anda dah nampak kaitannya dengan kencing manis?

Penyakit kencing manis yang tidak terkawal boleh menjadi punca penyakit mulut dan penyakit mulut juga boleh memburukkan penyakit kencing manis yang sedia ada.

Maka sangat penting bagi pesakit kencing manis menjaga kesihatan mulut agar sentiasa berada di tahap optimum. Pastikan kebersihan mulut dijaga, dapatkan rawatan dan nasihat pergigian daripada doktor gigi bertauliah dan kawal kencing manis anda 🙂

Dr. Dhuha binti Mohd Shahrain
Pegawai Pergigian KP Bandar Kuantan
Sukarelawan I-Medik

http://www.imedik.org/tag/kencing-manis/

Boleh Ke Makan Durian Ketika Hamil

LIRIK lagu “Durian Dah Berbunga” nyanyian Mr Os cukup sinonim dengan suasana ketika tibanya musim durian.

Sana sini durian, dari pernah RM30 sekilogram hingga sekarang ni datang musin durian, harga jatuh hingga RM3 sekilogram.

Sarapan – durian, makan tengah hari durian, minum petang – durian, makan malam pun durian.

“Oh kome, dengoyan udah luroh
Lebih baik cepat pegi suloh
Lambat sikit kome dapat habuk
Kalau tido jawabnye tinggey pokok”

Tapi awas, jangan sampai terlebih makan, mungkin padah menunggu kita.

Pesta durian di Malaysia dah bermula kira-kira 2 minggu lalu
Pesta durian di Malaysia dah bermula kira-kira 2 minggu lalu

Kita sedia maklum, Raja Buah akan meninggalkan kesan panas dalam badan. Pada mereka yang kurang tahan, mungkin ada yang demam.

Bagaimana pula dengan ibu hamil?

Menjawab persoalan itu, Hello Doktor yang dipetik sebagai berkata, ibu yang sedang hamil boleh makan durian, namun dalam kuantiti yang sederhana.

Kenapa?

Kerana, durian mempunyai kandungan gula dan karbohidrat yang tinggi.

Sebagai contoh, dua ulas durian bersaiz sederhana mengandungi 60 kalori dan durian juga dianggap sebagai makanan yang tinggi glisemik.

Jadi, bagi mengelakkan perkara yang tidak dundang, ibu mengandung harus tahu had untuk makan durian.
Ibu yang hamil juga sering dikaitan dengan diabetes.

Pada golongan terlibat, elakkan pengambilan durian kerana kandungan gulanya yang tinggi.

Risiko memakan durian berlebihan meningkatkan gula dalam darah.

Ia mempunyai kadar gula yang sangat tinggi.

Ibu yang sedang hamil boleh makan durian, namun dalam kuantiti yang sederhana.
Ibu yang sedang hamil boleh makan durian, namun dalam kuantiti yang sederhana.

Kajian terbitan British Journal of Obstetrics and Gynaecology menyebut, pengambilan makanan dan minuman yang tinggi kadar gulanya akan meningkatkan risiko bayi lahir terlalu besar dan berat.

Malah, ia boleh menyebabkan obesiti pada bayi semasa kanak-kanak.

Kalori dan karbohidrat yang terdapat dalam buah durian sangat tinggi.

Sebiji durian bersamaan 54 hingga 60 kalori.

Bayangkan kalau ibu yang hamil makan hingga sebiji durian.

Keadaan ini boleh mendorong kepada diabetes gestasi, pre eklampsia, kelahiran pramatang dan jangkitan saluran kencing.

Durian, walaupun aromanya ada yang mnegatakan kurang enak, tetapi isinya amat digemari.
Durian, walaupun aromanya ada yang mnegatakan kurang enak, tetapi isinya amat digemari.

Rekod kes juga menunjukkan, berat badan berlebihan berisiko mengganggu suntikan epidural semasa proses bersalin.

Dah tahu, boleh cegah.

Bukan tak boleh makan, tapi pertimbangkan ulas durian yang mahu dimakan sejiranya anda kini sedang hamil.

Sumber : http://www.astroawani.com/gaya-hidup/tidak-apa-ke-makan-durian-masa-mengandung-182247

Sakit Jantung Boleh Makan Durian

Tidak semua orang menyukai durian. Bagi penggemar fanatik, durian barangkali menjadi buah paling enak di dunia. Di Malaysia sendiri kepelbagaian jenis raja buah buah ini mencetuskan rasa berbeza-beza. Ada isi manis berlemak, sedikit pahit dan gabungan kedua-duanya.

Bagi pencinta buah berduri ini pastinya tidak melepaskan peluang merasainya setiap kali tiba musim durian. Namun begitu ada pendapat mengatakan durian memberikan kesan pada tubuh jika diambil secara berlebihan.

Benarkah ia menyebabkan pening, mual dan mabuk bagi sesetengah individu? Bagaimana pula mereka yang berpenyakit diabetes dan darah tinggi, berapakah jumlah minimum boleh diambil bagi mengelak kenaikan gula dalam darah?

Menjelaskan lebih lanjut, Ahli Jawatankuasa Pusat Pertubuhan Doktor Islam Malaysia (PERDIM) Dr Zubaidi Ahmad, durian atau nama saintifiknya Durio zibethinus dikategorikan sebagai buah tempatan enak dan bernutrisi. Namun ramai memakan durian kerana rasanya yang manis dan berlemak tanpa mengetahui manfaat dan keburukannya.

“Secara amnya durian mengandungi 65 peratus air, 27 peratus karbohidrat termasuk empat peratus serat, lima peratus lemak dan satu peratus protein.

Dalam satu cawan 250 gram isi durian (dua atau tiga ulas durian) mempunyai 360 kilokalori (kCal) yang kebanyakannya daripada lemak dan karbohidrat.

“Berdasarkan keperluan tenaga dewasa, pengambilan secawan isi durian hampir memenuhi jumlah kalori diperlukan seseorang untuk makan pagi, tengah hari atau makan malam,” katanya.

Di samping itu durian turut mengandungi vitamin B6 seperti thiamine (B1), riboflavin (B2), niacin (B3), asid pantotenik (B5), vitamin B6 dan folat (B9), vitamin C dan mineral manganese dan potasium.

Semua vitamin ini amat diperlukan tubuh, sebagai contoh vitamin B diperlukan sebagai sumber utama dalam pembentukan sel darah merah dan memastikan sistem saraf berfungsi dengan baik.

Manganese juga membantu fungsi saraf, pembentukan tisu penghubung dan tulang, metabolisme lemak dan karbohidrat manakala potasium untuk mengawal tekanan darah, kesihatan jantung, otot dan tulang.

Menariknya, durian turut mengandungi asid amino, triptofan yang menjadi sumber utama pembentukan hormon serotonin dan melatonin yang membantu individu berasa tenang dan mudah untuk tidur.

“Pelbagai manfaat nutrisi yang boleh didapati daripada durian, tetapi jangan ambil dalam kuantiti yang banyak kerana ia boleh memudaratkan. Ini kerana disebabkan gaya hidup masyarakat pada hari ini yang kurang bersenam, berbeza pada zaman dulu masyarakat hidup dalam perkampungan yang tidak jauh dari hutan.

“Pekerjaan mereka membersihkan hutan, menanam dan menternak. Buah-buahan yang terdapat di sekitar mereka adalah sumber utama pembekal tenaga. Jadi pengambilan durian dengan banyak, tidak memudaratkan malah durian membekalkan vitamin dan mineral bagi membaiki tisu tubuh yang rosak akibat kerja kuat menggunakan tulang empat kerat,” katanya.

Makan berpada-pada

Menurut Dr Zubaidi, bagi pesakit diabetes mereka tidak digalakkan mengambil durian dalam jumlah yang banyak. Ini kerana durian mengandungi karbohidrat iaitu gula dalam bentuk glukosa dan fruktosa yang tinggi. Ia memberikan tenaga yang agak banyak dan menyebabkan tahap gula dalam darah meningkat sekali gus memberi kesan buruk kepada organ tubuh.

Durian juga mempunyai bahan sulfur yang menyebabkan kentut berbau. Sebelum kentut ini dikeluarkan, individu mungkin berasa kembung perut.

“Bagi pesakit ginjal dan jantung pula, pengambilan durian secara berlebihan menyebabkan tahap potasium menjadi tinggi dan mengganggu fungsi ginjal. Berbeza mereka yang mempunyai darah tinggi, pengambilan durian secara sederhana tidak memudaratkan dan mungkin dapat membantu menurunkan tekanan darah,” katanya.

ELAK pengambilan durian dengan banyak untuk pesakit diabetes.
Bagi mereka yang sihat, dua atau tiga ulas sudah mencukupi. Ini kerana tahap gula yang tinggi akan dimetabolisme dengan lebih lama dan menyebabkan tubuh berasa panas. Jika diambil sebelum waktu malam, ia mungkin menyebabkan rasa tidak selesa.

“Untuk mengelak pengambilan terlalu banyak, saya mencadangkan kita berkongsi makan durian bersama kawan terutama pada hari tertentu seperti hari lahir. Lebih banyak durian yang dihidangkan, lebih ramai kawan yang dijemput hadir. Ini membantu mengurangkan pengambilan durian.

“Walaupun memakan durian berlebihan mungkin tidak mendatangkan kemudaratan bagi mereka yang sihat. Tetapi elakkan mengambil secara kerap contohnya setiap hari dan dalam jumlah yang banyak. Sebab itu secara semula jadi, kita mudah berasa muak dan tidak berselera makan durian jika selalu dimakan,” katanya.

Bagi mereka yang mempunyai penyakit kronik, sebaik-baiknya hanya mengambil pendekatan ‘merasa’ dan bukan ‘makan’. Jamah hanya dua atau tiga ulas dalam satu hidangan atau lebih selamat hanya dua atau tiga sudu.

Minum air kosong secukupnya bagi mengurangkan rasa panas dan mengelak peningkatan gula dalam darah. Akhir sekali selalu membuat pemantauan kesihatan dengan mendapatkan nasihat dan pemeriksaan doktor.

Panduan makan durian:

• Jangan mengambil isi durian bersama makanan tinggi karbohidrat (terutama karbohidrat ringkas seperti kek manis atau minuman bergas). Ini akan menyebabkan peningkatan gula dengan cepat. Bagi mereka yang sihat mungkin akan mengalami dehidrasi dan akhirnya pitam. Mereka yang mempunyai penyakit kronik ia sudah pasti akan menyebabkan masalah yang sama.

• Jangan mengambil isi durian bersama makanan atau minuman berkafein (seperti kopi, kola, koko dan teh) kerana ia mungkin menyebabkan rangsangan jantung. Kandungan potasium apabila bergabung dengan kafein menyebabkan kemudaratan pada jantung. Ia mungkin tidak berlaku pada semua orang tetapi ia tetap boleh berlaku.

• Minum banyak air kosong. Tahap gula yang tinggi (terutama apabila memakan terlalu banyak durian) boleh menyebabkan keadaan dehidrasi dan akhirnya mendatangkan kemudaratan. Dengan minum air yang mencukupi, ia dapat mengelakkan dehidrasi.

• Bagi mereka yang mengambil ubat-ubatan, perlu berhati-hati kerana ada ubat yang mudah diserap dalam badan apabila perut diisi dengan makanan dan ada ubat yang perlu diambil ketika perut kosong. Jadi bertanyakan kepada doktor bagi mengetahui bila sepatutnya diambil.

• Bagi pesakit diabetes, memakan durian boleh menyebabkan peningkatan gula yang tinggi dengan cepat. Oleh itu ubat-ubat diabetes harus diambil segera.

Artikel ini disiarkan di Harian Metro pada Khamis, 2 Ogos 2018 @ 2:54 PM

https://www.hmetro.com.my/hati/2018/08/364213/makan-durian-biar-berpada

Serangan Jantung Boleh dicegah

“Serangan jantung dapat dicegah sekiranya kita menjalani kehidupan sihat dengan tidak merokok, menjaga pemakanan dan bersenam. Pastikan juga kita tidak menghidap kencing manis, darah tinggi atau kolesterol tinggi. Apabila penyakit-penyakit ini dapat dicegah, bermakna serangan dan sakit jantung juga tidak atau jarang berlaku kepada individu itu.”

Itu antara nasihat penting Perunding Pakar Kardiologi, Pantai Hospital Ampang, Selangor, Dr. Chong Wei Peng.

Dia berkata demikian apabila ditanya bagaimana serangan jantung dapat dicegah memandangkan penyakit ini merupakan punca utama kematian dalam kalangan pesakit, dengan statistik yang dikeluarkan di hospital-hospital kerajaan menghampiri ke angka 20 hingga 25 peratus.

Kata Dr. Wei Peng, serangan jantung berlaku akibat ‘kematian’ atau kerosakan otot jantung yang terjadi disebabkan saluran darah yang tersumbat secara tiba-tiba menyebabkan darah menjadi beku dalam salurannya yang sempit.

Fungsi saluran ini adalah untuk mengalirkan oksigen ke jantung. Jantung mengepam darah untuk membekalkan oksigen dan zat makanan ke seluruh badan melalui sistem peredaran darah.

Jantung yang sihat berupaya mengepam 10,000 liter darah sehari dan berdenyut kira-kira 100,000 kali sehari, iaitu antara 60 hingga 80 kali seminit.

Sakit jantung berlaku apabila salur darah jantung menjadi sempit. Penyempitan ini berlaku kerana dinding sebelah dalam saluran darah diselaputi lemak terutama kolesterol.

Biasanya proses penyempitan saluran darah ini berlaku sejak bertahun-tahun dahulu akibat risiko kolesterol tinggi, merokok, kencing manis, obesiti, menjalani kehidupan yang kurang aktif dan darah tinggi.

Namun, kata Dr. Wei Peng, penyempitan saluran darah bukanlah sebab utama berlakunya serangan jantung, tetapi darah yang membeku secara tiba-tiba akibat lapisan saluran sempit itu terkoyak yang menyebabkan serangan jantung berlaku.

“Bagaimana saluran ini boleh terkoyak, itu juga masih dalam kajian. Namun, kita juga dapati sekiranya dalam saluran berkenaan terdapat banyak lemak, iaitu kolesterol yang menyebabkan inflamasi, boleh menyebabkan jantung menjadi lemah yang dikenali sebagai penyakit jantung koronari,” katanya.

Dia juga menegaskan, simptom dan gejala penyakit atau serangan jantung juga adalah berbeza antara individu itu. Lazimnya, bagi tanda-tanda serangan jantung, seseorang itu terasa kurang selesa atau sakit di bahagian tengah atau keseluruhan dada seperti rasa terhimpit atau dihempap batu yang berat.

Malah, ada juga pesakit yang tidak berasa sakit, tetapi hanya merasai sedikit kurang selesa di bahagian dada. Ada juga pesakit yang tidak berasa sakit apa-apa pun, tiba-tiba rasa tercungap-cungap, mengalami kesukaran untuk bernafas.

“Pesakit juga kemungkinan akan berpeluh-peluh, rasa hendak pitam yang mana keadaan ini sama dengan gejala serangan panik atau juga penyakit asma. Malah gejala penyakit jantung juga seakan-akan sama dengan penyakit gastrik kerana selain terasa kurang selesa di dada, pesakit juga akan terasa kembung di bahagian perut.

“Dalam keadaan ini, doktor perlu memastikan adakah pesakit benar-benar diserang sakit jantung dengan melakukan beberapa ujian tertentu. Nasihat saya, sekiranya anda terasa tidak sedap dan kurang selesa di dada, pergilah berjumpa doktor untuk melakukan pemeriksaan seperti ECG (electrocardiogram) dan pemeriksaan darah.

“Antara rawatan yang diberikan kepada pesakit, ialah ubat untuk mencairkan darah dan pembedahan angioplasty,” katanya.

Jelas Dr. Wei Peng, terdapat tiga saluran darah utama yang berwarna merah di atas permukaan jantung.

Bagi saluran darah koronari, ia berbentuk seperti mahkota merah (crown). Di negara ini, biasanya golongan lelaki yang berusia adalah paling ramai mendapat serangan jantung, terutama bagi mereka yang berumur 50-an ke atas.

Namun, terdapat juga mereka yang berumur 30-an diserang sakit jantung terutama mereka yang aktif merokok dan obes.

Berbanding di negara Barat, kebanyakan lelaki yang mendapat sakit jantung berusia 60-an ke atas dan ini menunjukkan di negara ini serangan jantung berlaku kepada lelaki yang masih muda dan produktif.

Bagi golongan wanita pula, lazimnya mereka yang telah menopaus boleh mendapat serangan jantung.

Malah, mereka yang bersukan juga boleh diserang sakit jantung kerana tekanan terhadap jantung akibat melakukan kerja terlalu ‘berat’.

Kebimbangan setelah serangan

Serangan jantung boleh berulang kembali dalam tempoh beberapa bulan atau tahun sekiranya pesakit masih tidak mengamalkan gaya hidup sihat atau menghidap penyakit-penyakit yang berisiko tinggi.

Tahap keseriusan serangan jantung untuk kali kedua bergantung kepada berapa banyak kerosakan dan ‘kematian’ otot jantung berlaku ketika serangan kali pertama.

Sekiranya melibatkan sebahagian kecil jantung, keadaan individu itu masih lagi boleh pulih dan tidak akan melibatkan kematian, namun sekiranya otot bahagian jantung mengalami banyak kerosakan, boleh menyebabkan pesakit akan menjadi lebih teruk kerana komplikasi keadaan jantung yang lemah.

Pesakit juga akan mudah mengalami semput, sesak nafas, lemah dan kaki bengkak akibat saluran darah yang sempit. Pesakit yang mengalami serangan jantung boleh diselamatkan dalam tempoh lima hingga 10 minit, dari tempoh serangan. Pesakit yang mengalami serangan jantung akan diberikan ubat mencairkan darah. Orang ramai, yang berhadapan dengan mereka yang terkena serangan jantung boleh terus menghantar pesakit ke hospital untuk rawatan.

KENALI serangan jantung

1 Boleh berlaku bila-bila masa sahaja

2 Sakit jantung berlaku apabila salur darah jantung menjadi sempit menyebabkan ada bahagian jantung yang tidak mendapat bekalan darah dan

oksigen yang mencukupi mengakibatkan berlakunya sakit dada.

3Jika saluran darah tertutup sepenuhnya sebahagian daripada jantung akan rosak mengakibatkan sakit dada yang teramat sangat dikenali sebagai sakit jantung.

4Antara tanda-tanda sakit jantung ialah pesakit akan berasa sesak nafas, berdebar, letih lesu, peluh dingin, rasa pitam dan pengsan.

5Tekanan perasaan juga boleh mengakibatkan degupan jantung yang meningkat dan tekanan darah turut meningkat mengakibatkan seseorang itu mengalami sakit jantung.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/kesihatan/serangan-jantung-boleh-dicegah-1.536093#ixzz5PKykWMfC
© Utusan Melayu (M) Bhd